Assalammualaikum dan Salam Sehati Sejiwa.

Kami ingin memanjatkan kesyukuran kerana dengan bantuan serta kerjasama daripada pelbagai pihak, blog PPDa SMK Tinusa Sandakan dengan ini berjaya dilancarakan. Blog ini bertujuan untuk memberikan info serta pengetahuan pelawat blog ini berkenaan dengan dadah secara keseluruhannya. Selain itu, blog ini juga berfungsi untuk memberikan maklumat terkini pergerakan serta perkembangan Bilik Sumber PPDa SMK Tinusa, Sandakan kepada umum. Oleh hal yang demikian, adalah diharapkan agar blog ini boleh menjadi saluran terbaik kepada semua agar bersama-sama membanteras dadah kerana "Dadah adalah Musuh Negara". Sekian

Rokok


ROKOK

PENGENALAN
Apa itu rokok? Rokok adalah tembakau yang dibalut berbentuk silinder samada daripada kertas mahupun daripada berbagai jenis daun berukuran antara 70mm hingga 120mm dengan diameter 10mm berbeda mengikut negara. Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung yang lain.


BAHAYA KANDUNGAN ROKOK
Rokok boleh membahayakan kesihatan kita kerana rokok menyebabkan:
1.      Kanser pundi kencing
2.      Kanser perut
3.      Kanser usus dan rahim
4.      Kanser mulut
5.      Kanser Esofagus
6.      Kanser tekak
7.      Kanser pankrias
8.      Kanser payudara
9.      Kanser paru-paru
10.  Penyakit saluran pernafasan kronik
11.  Strok
12.  Pengkroposan tulang atau yang dikenal dengan osteoporosis
13.  Penyakit jantung
14.  Kemandulan
15.  Putus haid awal
16.  Melahirkan bayi yang cacat
17.  Keguguran bayi
18.  Bronkitis, Batuk
19.  Penyakit ulser peptik
20.  Emfisima
21.  Otot lemah
22.  Penyakit gusi
23.  Kerosakan mata

Bahaya rokok yang dibincangkan di atas adalah bagi perokok aktif. Perokok aktif adalah orang yang merokok secara langsung menghisap rokok sedangkan perokok pasif adalah orang yang tidak secara langsung menghisap rokok, tetapi menghisap asap rokok yang dikeluarkan dari mulut orang yang sedang merokok. Bagi perokok pasif, terdapat beberapa kesan bahaya yang akan menimpa perokok pasif. Antaranya ialah:
1.      Meningkatkan risiko kanser paru-paru
2.      penyakit jantung
3.      Masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis
4.      Sakit atau pedih mata
5.      Bersin dan batuk-batuk
6.      Sakit kerongkong
7.      Sakit kepala

Antara kandungan dalam asap rokok adalah 2 kali lebih banyak nikotin, 5 kali lebih banyak karbon monoksida, 3 kali lebih banyak tar, 50 kali lebih zat kimia yang berbahaya bagi kesihatan. Bahaya asap rokok terhadap ibu hamil dan janin dalam kandungannya boleh menyebabkan keguguran janin/bayi, tumbesaran janin terencat – 30% lebih tinggi, kematian janin dalam kandungan, pendarahan dari uri (abruption placenta), berat badan berkurang antara 20% hingga 30%. Manakala, bahaya asap rokok terhadap bayi boleh menyebabkan masalah dan penyakit pernafasan, mengganggu terhadap perkembangan kecerdasan, jangkitan telinga dan Leukeamia.


KESAN-KESAN MEROKOK

1.      Aspek Kesihatan
Rokok mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan tubuh badan disebabkan oleh bahan kimia yang berbahaya dalam asap rokok. Kesan tersebut boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan jangka panjang dan kesan jangka pendek. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu.
Antara kesan jangka pendek ialah mengurangkan fungsi otak disebabkan oleh pembebasan gas karbon dioksida dan pengurangan oksigen daripada asap rokok tersebut. Selain itu, menghisap rokok boleh mengganggu daya pendengaran dan penglihatan kerana mengurangkan kadar pengaliran darah ke seluruh tubuh badan. Perokok selalunya mempunyai nafas yang berbau dan mudah mendapat jangkitan mulut dan gusi serta gigi menjadi kuning. Mereka yang merokok juga akan menghadapi kesukaran untuk bernafas dan mudah merasa letih apabila melakukan sesuatu pekerjaan terutamanya bersukan. Ini pula merupakan kesan jangka panjang rokok. Rokok boleh membahayakan kesihatan diri kerana bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok yang boleh mengurangkan fungsi sekaligus merosakkan organ dalam tubuh kita. Sebagai contoh, nikotin yang ada dalam rokok boleh menyebabkan ketagihan sekiranya menghisap rokok secara berulang kali. Selain itu, tembakau boleh mengakibatkan penyakit jantung dan barah. Terdapat lebih kurang 63 bahan kimia dalam rokok yang akan menyebabkan barah paru-paru, mulut, usus, tekak dan payudara. Penghisap rokok tegar akan menghidap penyakit strok, penyakit mulut dan gusi, osteoporosis, mandul dan penyakit paru-paru seperti asthma dan bronkitis (jangkitan pada paru-paru).
Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Dalam negara Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat. Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu Perokok juga bukan hanya membahayakan kesihatan diri sendiri malah turut memberi kesan yang lebih merbahaya terhadap kesihatan orang sekeliling. Mereka yang menghidu asap rokok tanpa merokok dari orang yang merokok dikenali sebagai perokok pasif. Contohnya, kanak-kanak akan mudah mengidap penyakit paru-paru dan jantung seperti asthma, mengganggu pertumbuhan paru-paru, kecacatan pendengaran, mempunyai IQ rendah, masalah kawalan motor, keguguran dan mati dalam kandungan. Ibu mengandung juga akan mengalami implikasi yang buruk terhadap bayi dalam kandungan seperti melahirkan bayi yang tidak cukup bulan dan bayi kurang berat badan.

2.      Aspek Alam Sekitar
Selain membahayakan kesihatan diri, merokok juga boleh mencemarkan persekitaran. Asap rokok akan menyebabkan pencemaran udara. Jadi, bukan hanya mereka yang merokok yang mendapat keburukan malahan orang sekeliling turut merasa kesukaran untuk mendapatkan udara yang bersih dan segar. Tambahan pula, puntung rokok yang dibuang merata-rata boleh mencemarkan alam sekitar seperti mengakibatkan longkang tersumbat yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes. Ini boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain seperti demam denggi. Selain itu, alam sekitar akan kelihatan kotor dan akan menyebabkan datangnya masalah pencemaran air dan lain-lain. Sebagai contoh, apabila sistem pengairan terganggu, bencana alam boleh berlaku seperti banjir kilat. Merokok juga menyumbang sebanyak 25 peratus kepada kes kebakaran. Ini boleh dilihat apabila mereka yang merokok kurang rasa tanggungjawab untuk membuang puntung rokok yang masih berbara di merata-rata tempat. Kebakaran juga menyebabkan peningkatan kandungan karbon dioksida dan karbon monoksida meningkat dan penghuni bumi akan merasai kekurangan oksigen untuk bernafas dan menaikkan suhu bumi sekaligus mengakibatkan pelbagai bencana alam akibat perbuatan manusia sendiri.

3.      Aspek Sosial
Pertubuhan Kesihatan Sedunia berpendapat bahawa merokok adalah satu aktiviti ketagihan. Merokok secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang itu terlibat dengan najis dadah. Hal ini disebabkan rokok merupakan bunga kepada dadah. Keadaan ini boleh digambarkan sebagai permulaan untuk menjinakkan diri dengan bahan-bahan yang tidak mendatangkan sebarang manfaat seperti melepak dan penagihan dadah. Ini sekaligus akan meningkatkan masalah sosial dalam masyarakat. Merokok juga sering bermula pada zaman remaja. Kaji selidik yang dilakukan oleh Global Youth Survey mendapati 20 peratus daripada pelajar yang berumur 13 tahun hingga15 tahun adalah perokok, manakala remaja bawah 18 tahun yang merokok juga meningkat sehingga 20 peratus.
Ini kerana remaja merupakan satu fasa yang mana mereka sedang mencari identiti. Oleh itu, meraka sangat mudah terpengaruh dengan perkara- perkara yang tidak berfaedah terutama daripada rakan-rakan. Para remaja juga mempunyai sikap ingin tahu dan ingin mencuba yang tinggi. Selain itu, ibu bapa yang merokok juga akan menggalakkan kanak-kanak cuba untuk merokok. Ini kerana kanak-kanak merasakan merokok itu tidak akan mengakibatkan apa-apa keburukan. Selalunya, ibu bapa merupakan contoh yang paling dekat dan merekalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak. Anak-anak akan mudah mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.

4.      Aspek Ekonomi
Di samping itu, merokok mengundang ke arah pembaziran. Wang yang sepatutnya digunakan ke arah kebaikan telah digunakan untuk membeli rokok iaitu satu perkara yang tidak bermanfaat. Seharusnya wang yang diperolehi perlu dilaburkan ke arah yang lebih baik seperti untuk pelajaran, makanan, memperbaiki taraf hidup keluarga, meningkatkan ekonomi negara dan lain- lain lagi. Dengan ini dapat dilihat yang merokok merupakan satu pembaziran harta. Satu kajian telah dilakukan oleh seorang sarjana Barat, C. Everentt Koop, golongan perokok kebanyakannya mati pada usia muda berbanding dengan golongan yang tidak merokok. Hal ini amat membimbangkan terutamanya pihak kerajaan yang terpaksa menanggung risiko kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor apabila pekerja yang merokok mati pada usia yang muda walaupun mati itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Merokok juga akan menyebabkan seseorang itu hilang fokus dalam melakukan pekerjaan terutama bagi mereka yang ketagih dan akan mengurangkan prestasi kerja seseorang. Secara tidak langsung pula, akan mengurangkan produktiviti sesebuah syarikat serta melemahkan taraf ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment